Radhi 


EMPAT tahun hidup solo, akhirnya penyanyi Radhi OAG atau nama sebenarnya M. Radhi Razali, 37, kembali mendirikan rumah tangga bersama wanita pilihannya, Nor Shahira Ayu Zahiri, 20, pagi Jumaat lalu, di masjid Salahudin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.

Hanya dengan sekali lafaz, pasangan yang mengenakan persalinan rona putih ini, dinikahkan oleh Imam Besar Masjid Negeri, Mohd Firdaus Subhi, dengan mas kahwin berjumlah RM300.

Sebelum akad nikah, majlis disempurnakan terlebih dahulu dengan acara merisik. Kemudian di susuli dengan majlis pertunangan. Ia menyaksikan Ayu menerima tiga bentuk cincin selain wang hantaran berjumlah RM30,000.

Selain itu, pihak lelaki turut membawa 14 dulang hantaran berupa sepasang telekung, beg tangan Charles & Keith, minyak wangi Boss, sebentuk cincin, kek dan senaskhah Al Quran. Manakala pihak perempuan pula membalas dengan 12 dulang hantaran.

Berlangsung secara sederhana, majlis ini dihadiri lebih 100 tetamu yang terdiri dari pihak keluarga dan juga rakan-rakan terdekat mereka.